PESAWAT ringan yang mendarat cemas di kawasan kilang di Lipat Kajang, Melaka. FOTO Ihsan Polis.
PESAWAT ringan yang mendarat cemas di kawasan kilang di Lipat Kajang, Melaka. FOTO Ihsan Polis.
Nuraliawati Sabri


Jasin: Pekerja kilang kaca di sini gempar selepas pesawat ringan mendarat cemas di pekarangan premis itu di Lipat Kajang, di sini, hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya dimaklum kejadian itu pada 11.20 pagi.

Katanya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilapor susulan pendaratan cemas berkenaan.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, pesawat itu milik Malaysian Flying Academy dan ia adalah pesawat latihan," katanya.

Menurutnya, juruterbang bersama pelatih mengendalikan pesawat dan mendarat di kawasan lapang.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan Badan Siasatan Kemalangan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Sementara itu, CAAM dalam kenyataan memaklumkan insiden itu disebabkan masalah teknikal.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat itu sudah memohon kebenaran daripada Menara Kawalan Trafik Udara untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam.

"Namun pesawat membuat pendaratan paksa di kawasan kilang itu pada 11.05 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 3:10 PM