PESAWAT berkenaan. FOTO AP
PESAWAT berkenaan. FOTO AP
AFP

Washington: Seorang juruterbang yang mengancam untuk merempuh pesawat kecilnya ke dalam sebuah pasar raya Walmart di Mississippi, Amerika Syarikat, ditahan pihak berkuasa selepas mendaratkan pesawat itu di sebuah ladang, pada Sabtu.

Pesawat Beechcraft dengan enjin berkembar itu berlegar-legar secara tidak menentu di atas bandar Tupelo dan kawasan berdekatan selama berjam-jam sebelum melakukan pendaratan pada 11.25 pagi (waktu tempatan).

Juruterbang itu yang dikenal pasti oleh Ketua Polis Tupelo John Quaka sebagai Corey Wayne Patterson dari Shannon akan didakwa atas kesalahan rompakan besar dan membuat ancaman pengganas, lapor CNN.

Quaka berkata, mungkin ada pendakwaan tambahan di peringkat persekutuan.

Motif di sebalik kecurian aneh itu masih tidak jelas.

Quaka berkata, Patterson bekerja selama 10 tahun untuk Tupelo Aviation di mana tugasnya termasuk mengisi bahan bakar pesawat dan mempunyai beberapa arahan penerbangan tetapi nampaknya bukan juruterbang berlesen.

Juruterbang menghubungi pengendali kecemasan 911 di Tupelo, kira-kira 5 pagi, "mengancam sengaja merempuh Walmart di West Main," kata kenyataan polis sebelum ini.

Gedung serbaneka yang luas dan stesen minyak berdekatan dipindahkan, dan orang ramai diberi amaran untuk menjauhkan diri.

Quaka berkata, perunding polis Tupelo membuat hubungan radio dengan Patterson dan berjaya memujuknya supaya tidak menghempaskan pesawat itu tetapi dia kemudian mendaratkannya di lapangan terbang.

Memandangkan Patterson tidak mempunyai pengalaman dalam pendaratan, seorang juruterbang swasta bercakap dengan Patterson melalui proses rundingan itu.

Tetapi pada saat-saat terakhir, Patterson membatalkan pendaratan dan mengembara ke barat laut, jauh dari Tupelo, kata Quaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 10:29 AM