Mohd Azam Shah Yaacob

PENERBANGAN Malaysia Airlines MH360 terpaksa mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi berikutan masalah teknikal membabitkan gear pendaratan.

Malaysia Airlines Berhad (MAS) berkata, juruterbang MH360 mengambil keputusan tidak meneruskan penerbangan ke Beijing dan berpatah balik ke KLIA demi kepentingan keselamatan penumpang.

Katanya, MH360 berlepas dari KLIA 6 petang, semalam dan sepatutnya dijadualkan tiba di Beijing 12.20 tengah malam tadi.

“Namun, disebabkan masalah teknikal membabitkan gear pendaratan, juruterbang MH360 mengambil keputusan berpatah balik dan tidak meneruskan penerbangan ke Beijing seperti dijadualkan.

“Pesawat itu selamat mendarat semula di KLIA, 9.03 malam tadi selepas tiga jam berlepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, punca masalah gear pendaratan pesawat terbabit kini sedang dikenal pasti dan diperbetulkan oleh jurutera penerbangan.

Katanya, susulan masalah dialami MAS mengambil keputusan menggantikan pesawat terbabit dengan pesawat lain yang berlepas dari KLIA, 12.30 malam tadi dan selamat tiba di Beijing, 6.35 pagi tadi.

“MAS juga mengambil tanggungjawab menyediakan makan malam kepada semua penumpang pesawat terbabit sebelum mereka berlepas ke Beijing menaiki pesawat lain.

“Tindakan tidak meneruskan perjalanan MH360 ke Beijing dan menggantikannya dengan pesawat lain itu dibuat berikutan dasar MAS yang mengutamakan keselamatan sepanjang masa dan syarikat memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan dihadapi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pesawat MH360 yang berlepas dari KLIA ke Beijing berlegar di ruang udara Selat Melaka sebelum kembali semula ke KLIA.

Berita berkaitan:

  • Pesawat MH360 patah balik
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 1:49 PM