FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Aqil Sharullizam


Kuala Lumpur: Kemerdekaan sewajarnya difahami bukan hanya bebas daripada dijajah, sebaliknya kemampuan rakyat menjalani kehidupan lebih baik dan memiliki semangat cinta negara.

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Azim Azhan, 23, berkata, kemerdekaan tidak sekadar bebas daripada penjajah kerana ia juga merangkumi aspek lebih besar dan mendalam dalam konteks kehidupan.

"Melalui konsep Malaysia Madani, ia kunci utama bagi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

"Penghayatan erti kemerdekaan dalam jiwa generasi muda kini didapati kian berkurangan atas pelbagai faktor seperti kemajuan teknologi dan digitalisasi sehingga mengalihkan perhatian mereka daripada soal sejarah dan kemerdekaan.

"Namun, saya percaya masih ramai anak muda yang mempunyai semangat cintakan negara dalam  diri mereka," katanya.

Guru tadika, Dahlia Shamsul Buhari, 23, berkata, kemerdekaan digapai hari ini adalah pemangkin kepada keharmonian dan kemajuan negara.

"Dengan kemerdekaan, rakyat dapat menjalani rutin harian tanpa risau perkara tidak diingini berlaku seperti sebelum merdeka.

"Rakyat bebas bergaul tanpa mengira kaum serta  mampu merapatkan jurang sosial dan meningkatkan ekonomi negara," katanya.

Sementara itu, jurujual Miqdad Noor Azwan, 23, pula berkata, erti kemerdekaan juga meliputi aspek tingkah laku, budaya dan cara pemikiran seseorang.

"Kemerdekaan dapat dimaknakan apabila  negara komited dalam membina kemajuan terutama aspek ekonomi dan sosial.

"Saya harap rakyat tidak ambil ringan berkenaan kemerdekaan, walaupun hidup dalam pelbagai perbezaan, tapi kita perlu bersepakat dalam mengekalkan kemerdekaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 7:01 AM