Saban tahun pada 31 Ogos seluruh masyarakat akan menyambut bulan kemerdekaan dan menandakan genaplah kemerdekaan Malaysia atau bebas daripada penjajahan yang ke-66 pada tahun 2023.
Sewajarnya, seluruh masyarakat Malaysia bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat kemerdekaan, keamanan, kesejahteraan dan kedamaian seterusnya dapat dikekalkan sehingga kini.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Jika kalian bersyukur nescaya akan Ku tambah (nikmatku) pada kalian dan jika kalian mengingkari (nikmatku), maka pasti azabKu sangat pedih." (Surah Ibrahim: 14)
Rakyat Malaysia perlu menghiasi kegembiraan sambutan kemerdekaan dengan penuh rasa bersyukur. Tanpa kemerdekaan, berkemungkinan masyarakat akan menjadi bangsa yang hina di bumi sendiri.
Lazimnya, bangsa dan masyarakat yang dijajah sangat inginkan kemerdekaan hingga sanggup berjuang dan berperang sampai ke titisan darah terakhir demi meraih sebuah kemerdekaan.
Kemerdekaan bukanlah hanya sekadar erti kebebasan daripada penjajahan tanah air sahaja, tetapi mempunyai erti yang lebih luas merangkumi pelbagai aspek seperti jiwa, pemikiran, tingkah laku, budaya dan sebagainya.
Seseorang Muslim yang merdeka adalah merupakan seorang individu yang bebas daripada kemurkaan Allah SWT dan keruntuhan akhlak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Mahukah kalian aku khabarkan tentang orang Mukmin, iaitu orang yang (membuat) orang lain berasa aman atas harta dan diri mereka, orang Muslim adalah orang yang (membuat) orang lain sejahtera daripada (bahaya) lidah dan tangannya, mujahid adalah orang yang memerangi nafsu dirinya dalam mentaati Allah dan muhajir adalah orang yang meninggalkan kesalahan- kesalahan dan dosa-dosa." (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)
Seseorang Mukmin perlu memerdekakan jiwa daripada pengabdian diri kepada makhluk atau sesama manusia atau harta benda kepada hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Inilah tujuan dan fungsi utama pengutusan Nabi SAW untuk berjuang memerdekakan jiwa hamba dengan hanya mengesakan dan mentauhidkan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bertanyalah (wahai Muhammad): Apakah sesuatu yang lebih besar persaksiannya? (Bagi menjawabnya) katakanlah: Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu dan diwahyukan kepadaku al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada beberapa Tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah: Aku tidak mengakuinya. Katakanlah lagi: Hanya Dia lah sahaja Tuhan Yang Maha Esa dan sesungguhnya aku berlepas diri apa yang kamu sekutukan (dengan Allah Azza Wa Jalla)." (Surah al-An'am: 19)
Seterusnya, rakaman dialog panglima Rib'i bin 'Amir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum mengungkapkan kalimah yang bermaksud: "Allah mengutuskan kami (orang-orang Islam) untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat."
Sewajarnya, setiap Mukmin perlu bercita-cita bukan hanya mahu merdeka di dunia sahaja, bahkan inginkan juga di akhirat supaya terlepas daripada perlakuan dosa syirik dan sebagainya yang mengakibatkan dicampakkan oleh Allah SWT ke dalam neraka kelak.
Justeru itu, marilah bersama mengisi kemerdekaan dengan sesuatu yang lebih bermakna dan bermanfaat. Semarakkan program kemerdekaan dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.
Generasi muda pada hari ini perlu disedarkan untuk terus mengisi dan memperjuangkan kemerdekaan yang telah dicapai demi kelangsungan generasi akan datang.
Hindarkanlah salah faham terhadap makna kemerdekaan sehingga sering dikaitkan dengan kebebasan melakukan sesuatu mengikut kehendak nafsu semata-mata tanpa sebarang batasan dan panduan agama.
Generasi muda perlu dididik dan dipandu supaya memahami makna kemerdekaan yang sebenar selaras dengan syariat supaya tidak terjajah dengan budaya maksiat yang mengundang pelbagai bala bencana dan kemurkaan Allah SWT.
Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)