(KIRI SEKALI) NUR Sharini  (kiri) bersama kembarnya, Nur Ain bersyukur dapat meraikan dua hari istimewa serentak bersama seluruh rakyat Malaysia. (TENGAH) SITI Hawa mengakui semangat patriotisme sentiasa menebal dalam dirinya. (KANAN) Siti Aminah.
(KIRI SEKALI) NUR Sharini (kiri) bersama kembarnya, Nur Ain bersyukur dapat meraikan dua hari istimewa serentak bersama seluruh rakyat Malaysia. (TENGAH) SITI Hawa mengakui semangat patriotisme sentiasa menebal dalam dirinya. (KANAN) Siti Aminah.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Saban tahun tanggal 31 Ogos menjadi detik istimewa buat tiga wanita ini yang teruja berkongsi tarikh kelahiran sama dengan Hari Kebangsaan yang diraikan seluruh rakyat negara ini dengan penuh penghayatan.

Ini kerana mereka bersyukur pertambahan usia seiring dengan menjalani kehidupan yang kekal harmoni sepanjang negara mencapai kemerdekaan.

Suri rumah, Siti Aminah Ismail, 35, berkata dia gembira kerana berkongsi tarikh sama dengan Hari Kebangsaan yang bersejarah buat tanah air selepas bebas daripada cengkaman penjajah, hasil jerih perih pejuang terdahulu.

Menurutnya, lebih mengembirakannya apabila setiap tahun ahli keluarga terdekat dan sahabat baiknya tidak pernah lupa menyambut dan memberi ucapan sempena hari lahirnya kerana ia paling mudah diingati.

"Sebenarnya ada perasaan bangga dan bertuah menjadi anak merdeka kerana tidak semua orang dilahirkan pada tarikh yang sangat bermakna kepada penduduk dan negara ini.

"Menyambut ulang tahun kelahiran bersama sambutan kemerdekaan negara secara tidak langsung memberi lebih penghayatan dan mensyukuri nikmat Allah SWT kerana kita dapat hidup dalam suasana harmoni ketika ini," katanya.

Siti Aminah yang tinggal di Sitiawan, Perak berkata, biarpun tidak dilahirkan pada tahun sama iaitu 1957 namun sebagai warga bumi bertuah ini dia menghargai pengorbanan pejuang negara hingga ada yang berkorban nyawa demi tanah air.

"Semangat patriotisme wajib ada pada setiap generasi walaupun kita tidak melalui kepayahan seperti zaman lalu kerana selagi kita adalah rakyat Malaysia rasa sayang dan hormat kepada negara perlu sentiasa tersemat di hati.

"Erti kemerdekaan di zaman ini boleh diterjemahkan melalui tatacara kehidupan harian terutama berhadapan mereka yang berbeza agama, budaya dan fahaman daripada kita.

"Cara termudah boleh dilakukan adalah saling menghormati sebagai sebuah keluarga Malaysia dan keharmonian yang terpelihara sejak dulu perlu dikekalkan sehingga kini dan selamanya," katanya.

Bagi Nur Sharini Ya'akub, 33, dia dan kembarnya, Nur Ain juga bersyukur dapat meraikan dua hari istimewa serentak bersama seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, dia dan adik kembarnya merasai keterujaan berganda apabila tiba Ogos bukan hanya kerana ia bulan kelahirannya, malah gembira melihat Jalur Gemilang megah berkibaran di merata kawasan sekitar kediaman mereka.

"Penghayatan kemerdekaan ketika ini perlu lebih mendalam terutama pada generasi muda supaya lebih memahami erti sebenar serta menghormati keharmonian hidup bermasyarakat berbilang kaum dan bukan sekadar mengibarkan bendera semata-mata.

"Sebagai rakyat Malaysia terutama generasi muda juga perlu faham erti sebenar kemerdekaan yang mana kita perlu mengetahui dan mendalami sejarah pengorbanan pejuang dan pahlawan dulu dalam mempertahankan tanah air," kata guru yang bertugas di Melaka itu.

Sementara itu, Siti Hawa Dimiati, 50, berkata berkongsi tarikh lahir dengan hari kemerdekaan negara diibaratkan sebagai anugerah terindah untuknya malah turut mengakui semangat patriotisme sentiasa menebal dalam dirinya.

Ahli perniagaan itu berkata, dia sangat menghargai perjuangan, pengorbanan tenaga dan nyawa serta kesusahan pejuang terdahulu untuk mencapai kemerdekaan negara.

"Saya amat bersyukur pengorbanan itu memberikan saya tidak hidup dalam ketakutan, hidup aman dan tenteram, malah negara semakin harmoni.

"Sebagai negara majmuk, sikap tolenrasi dan saling menghormati biarpun berbeza agama, bangsa, adat dan pendapat perlu sentiasa ada dalam diri setiap rakyat untuk memastikan negara kekal aman serta sentosa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Ogos 2023 @ 7:30 AM