KEMERDEKAAN bukan sekadar sambutan tahunan semata-mata namun ia memberikan ruang  rakyat Malaysia menghargai dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
KEMERDEKAAN bukan sekadar sambutan tahunan semata-mata namun ia memberikan ruang rakyat Malaysia menghargai dan mengeratkan hubungan sesama mereka.
Aqil Sharullizam


Kuala Lumpur: Lakaran sejarah baru bakal tercipta apabila negara akan menggapai usia 66 tahun kemerdekaan, 31 Ogos ini, setelah mengharungi pelbagai rintangan dalam membentuk kestabilan dan keharmonian.

Bagi anak muda, kemerdekaan negara ertinya amat besar bagi mereka terutama apabila mengenangkan pengorbanan generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkannya.

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Atirah Hasnan, 23, berkata, kemerdekaan ditafsirkannya sebagai negara bebas daripada sebarang pengaruh dan kuasa asing.

"Ia amat penting bagi menerapkan pemahaman tentang erti sebenar kemerdekaan.

"Rakyat Malaysia akan belajar dari kesilapan lalu dan menghargai nilai kebebasan yang dirasai hari ini.

"Generasi muda terutamanya perlu memahami perit getir mendapatkan sebuah kemerdekaan yang memerlukan pelbagai pengorbanan dari semua pihak," katanya.

Menurutnya, kemerdekaan bukan sekadar sambutan tahunan semata-mata namun ia memberikan ruang untuk rakyat Malaysia menghargai dan mengeratkan hubungan sesama mereka.

Penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Maisarah Mahadi, 23, pula berkata, kemerdekaan adalah perkara yang sangat istimewa kepadanya.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN


"Tidak semua negara merasai makna sebenar kebebasan. Saya bangga kerana Malaysia memperoleh kemerdekaan dan memberi peluang untuk rakyatnya meneroka pelbagai pengalaman.

"Kita juga perlu dibekalkan dengan pengetahuan mengenai sejarah negara bagi membolehkan seseorang tersebut lebih memahami dan menjiwai kemerdekaan," katanya.

Sementara itu, penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sadlan Roslan, 22, berkata, kemerdekaan sifatnya menyeluruh termasuk daripada aspek pemikiran.

"Kita harus bebas daripada pengaruh pemikiran liberal yang didoktrin oleh penjajah terdahulu. Sebelum itu, kita perlu fahami sejarah negara agar dapat jadi rujukan dalam kehidupan.

"Sebagai anak muda, cara terbaik dalam mengekalkan kemerdekaan negara adalah dengan membina hubungan silaturahim tanpa mengira bangsa seiring dengan tema kemerdekaan pada tahun ini, Tekad Perpaduan Penuhi Harapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 7:01 AM