KUMAR dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas diikat jamin sebanyak RM10,000 atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempua. FOTO Alias Abd Rani
KUMAR dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas diikat jamin sebanyak RM10,000 atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempua. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

Muar: "Saya tidak bersalah…saya dianiayai," kata seorang pemandu van sekolah yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan, awal bulan ini.

Tertuduh, Kumar Muniyandy, 51, yang didakwa dengan satu pertuduhan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Dia tiba di mahkamah jam 8.30 pagi sambil ditemani isteri serta seorang anak perempuan mereka.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang juga pemilik van sekolah didakwa menyentuh badan dan kaki kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Kejadian berlaku ketika tertuduh mengambil mangsa dari sebuah Tadika di Kluang antara jam 12.30 tengah hari hingga jam 1 petang, 4 Ogos lalu.

Pada hari kejadian, neneknya bertanyakan pada mangsa sama ada tertuduh melakukan sesuatu terhadapnya kerana dia pulang lewat dari sekolah.

Mangsa memberitahu neneknya bahawa tertuduh ada memegang pinggang dan kakinya ketika dalam van.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Justeru, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta penjara lima tahun dan tidak kurang dua kali sebatan bagi hukuman tambahan mengikut Seksyen 16 (1).

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM18,000 kerana mangsa membabitkan kanak-kanak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes.

Pada masa sama, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Kluang sebulan sekali serta tidak boleh mengganggu, berhubung dengan mangsa dan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 12:50 PM