FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Padah membuat laporan palsu kononnya diragut selepas MyKad miliknya tercicir, seorang wanita ditahan polis pada Jumaat lalu.

Perbuatan wanita berusia 24 tahun itu terbongkar apabila polis menjalankan soal siasat ke atasnya mengenai kejadian yang dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan dibuat wanita itu pada Jumaat lalu.

"Wanita itu mendakwa ketika dia bersama teman lelaki menaiki motosikal melalui Jalan Dato Mufti, Kampung Dato Mufti Shuib, kira-kira jam 5 petang didatangi seorang penunggang motosikal yang meragut begnya.

"Bagaimanapun, hasil siasatan dilakukan suspek mendakwa membuat laporan palsu kerana MyKad miliknya sudah tercicir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Mohd Azam berkata, suspek kemudian ditahan pasukan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga Selasa ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:49 AM