Gambar hiasan
Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Tindakan seorang lelaki yang membuat laporan palsu mengenai kehilangan Mykad, turut membongkar rahsianya memiliki bahan lucah dalam telefon bimbit.

Difahamkan, semuanya terbongkar apabila polis membuat pemeriksaan selepas lelaki itu mengamuk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pekerja bank berusia 29 tahun itu pada mulanya membuat laporan kononnya diragut.

"Berdasarkan laporan, semasa dia berada di kawasan parkir Jalan Pandan Indah, didatangi seorang penunggang motosikal yang melarikan beg mengandungi dokumen peribadi dan wang tunai RM250.

"Pada 5.54 petang semasa lelaki itu menunggu untuk rakaman percakapan oleh penolong pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), dia secara tiba-tiba meninggikan suara.

"Suspek mendakwa menunggu lebih satu jam. Suspek terus bangun dari kerusi lalu membalingnya ke arah pintu pejabat pegawai penyiasat berkenaan sambil menjerit mahu pulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, polis kemudian menahan suspek dan pemeriksaan pada telefon bimbit menemui beberapa video lucah.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tiada sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Katanya, suspek ditahan reman tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis, Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dan Seksyen 182 kanun sama kerana membuat laporan palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 6:22 PM