Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI sanggup membuat laporan palsu konon disamun dan dicederakan dua lelaki kerana mahu meminjam wang ibunya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, perkara itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan terhadap lelaki berusia 32 tahun terbabit.

Menurutnya, suspek pada mulanya membuat laporan konon disamun dua lelaki yang menaiki motosikal ketika berada di belakang sebuah bangunan di Rahang, Seremban semalam.

“Lelaki itu turut mendakwa dicederakan dengan menggunakan batang besi oleh suspek.

“Suspek kemudian melarikan dokumen penting dan wang tunai RM4,000 miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Said berkata, bagaimanapun selepas siasatan dilakukan lelaki itu didapati membuat laporan palsu.

“Dia dipercayai sengaja membuat laporan palsu sebagai alasan untuk meminjam wang ibunya bagi membayar duit majikan yang dihabiskan untuk bermain judi,” katanya.

Susulan itu katanya, lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Dua hari lalu, polis Seremban turut menerima laporan palsu dibuat seorang wanita berusia 48 tahun kerana mahu mengelak dikenakan denda selepas MyKad miliknya hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 10:09 PM