GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Seorang wanita bukan saja dicederakan di muka dan dicekik, malah turut diugut rakan lelakinya dalam pergaduhan di tempat letak kereta sebuah residensi servis, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 26 tahun terbabit.

"Dalam kejadian 6 pagi itu, pengadu mendakwa berjumpa dengan rakannya untuk meminta semula Mykad miliknya yang ada dalam simpanan lelaki warga asing itu.

"Suspek yang juga penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) berang lalu memegang siku pengadu sebelum melagakan kepalanya kepada kepala, dahi dan muka pengadu beberapa kali.

"Pengadu meronta dan menjerit untuk melepaskan diri, tetapi suspek terus memeluk dan mencekik leher pengadu sebelum suspek melarikan diri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengadu yang mengalami lebam di bahagian kepala dan mata membuat laporan sebelum polis menjalankan siasatan dan menahan suspek di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, pada 2.45 petang.

Menurutnya, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 20 November ini untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, semakan mendapati pengadu dikehendaki polis Cheras atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Wanita itu turut ditahan dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:54 PM