Muhammad Faris dijumpai sekumpulan nelayan berhampiran Tanjung Hantu. FOTO IHSAN BOMBA
Muhammad Faris dijumpai sekumpulan nelayan berhampiran Tanjung Hantu. FOTO IHSAN BOMBA
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Kanak-kanak 10 tahun yang dilaporkan hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Pantai Teluk Senangin di sini, petang semalam ditemukan mati lemas pagi ini.

Mayat Muhammad Faris Irfan, 10, ditemukan nelayan berhampiran Tanjung Hantu di sini kira-kira 8.20 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat ditemukan dua batu nautika dari lokasi dilaporkan hilang.

"Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 67 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung itu ditamatkan jam 9 pagi tadi.

Terdahulu, bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.19 petang semalam dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis diatur gerak ke lokasi kejadian.

Keluarga mangsa menyedari kehilangan Muhammad Faris kira-kira jam 1 petang sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 10:39 AM