RAZARUDIN. FOTO arkib NSTP
RAZARUDIN. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak memecahkan dinding kaca Pejabat Agung Pas di ibu negara, awal pagi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semakan kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan bagi mengenal pasti suspek.

"Dalam kejadian itu, seorang lelaki yang menaiki motosikal membuat bising dan situasi itu dilihat oleh pengawal di bangunan terbabit.

"Lelaki itu bertindak membaling batu ke cermin pintu Pejabat Agung Pas," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat B1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, buat masa ini, suspek perlu dikenal pasti terlebih dulu bagi tindakan lanjut.

"Insya-Allah, siasatan dilakukan Polis Kuala Lumpur dalam masa terdekat dan menjurus kepada suspek yang kita kehendaki.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat," katanya.

Terdahulu, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca pejabat parti itu dipecahkan oleh suspek sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 3:44 PM