Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah syabu dengan penahanan 13 individu dan merampas dadah bernilai RM10.271 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan pertama pada 29 November lalu polis menahan 11 lelaki manakala serbuan kedua pada 30 November lalu menahan seorang lelaki dan wanita di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek yang ditahan berusia 21 hingga 53 tahun menggunakan kaedah kurier untuk menyeludup dadah syabu ke Sabah, Sarawak dan luar negara iaitu Indonesia, Filipina serta Australia.

"Sindiket menggunakan kaedah menyembunyikan lima bungkusan dadah dalam alat penyedut asap dapur bagi mengaburi mata pihak polis manakala satu sindiket lagi menggunakan bungkusan teh cina untuk menyeludup dadah syabu melalui perkhidmatan kurier.

"Susulan serbuan itu, polis merampas 285.47 kilogram dadah syabu bernilai RM10.271 juta.

"Sindiket menggunakan perkhidmatan kurier di Jalan Sultan Jalan Shah dan di Jalan Kuching untuk menyeludup dadah itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

RAZARUDIN (dua kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media kejayaan rampasan syabu di IPK Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama
RAZARUDIN (dua kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media kejayaan rampasan syabu di IPK Kuala Lumpur hari ini. FOTO Bernama

Razarudin berkata, polis turut menyita tiga kereta, tujuh barang kemas dan seutas jam tangan bernilai RM194,200.

"Saringan awal air kencing mendapati empat suspek positif dadah syabu.

"Semakan rekod mendapati 11 suspek mempunyai rekod lampau dalam kes dadah dan jenayah," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini aktif sejak enam bulan lalu dan suspek direman 12 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 7:15 PM