Siraj Mohd Zaini


Kuala Selangor: Tindakan sekumpulan lelaki yang menyerang sebuah premis judi tidak berlesen di daerah ini sehingga menjadi viral di Facebook (FB) Isnin lalu adalah bermotifkan peras ugut bagi mendapatkan habuan daripada pengusaha premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ruslan Abdullah berkata, tindakan kumpulan yang merupakan ahli sebuah badan bukan kerajaan (NGO) itu bukanlah untuk membanteras kegiatan tidak bermoral itu seperti yang didakwa mereka sebelum ini.

Menurutnya, kejadian juga berlaku pada 10 Mei lalu dan video berkenaan hanya dimuat naik pada 20 Jun lalu dipercayai kerana gagal mendapatkan wang perlindungan yang mereka kehendaki.

"Pihak polis telah memanggil dua suspek berusia 20-an dipercayai terbabit dalam serangan berkenaan, serta dua lagi saksi kejadian bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah.

"Hasil siasatan mendapati tindakan memecah premis itu bermotifkan peras ugut untuk mendapatkan wang perlindungan, kes ini masih dalam siasatan dan lebih ramai lagi suspek dan pihak berkaitan akan dipanggil bagi membantu siasatan," katanya pada sidang media, hari ini.

Video berdurasi 3.09 minit itu dimuat naik di beberapa 'fan page' di FB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 4:21 PM