Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memecahkan dinding kaca Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut berhampiran Chow Kit di sini.
Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai memecahkan dinding kaca Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut berhampiran Chow Kit di sini.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Penganggur disyaki membaling batu ke arah Pejabat Agung Pas, di Jalan Raja Laut, di sini direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil soal siasat lelaki berusia 36 tahun itu mengaku melakukan perbuatan terbabit.

"Suspek mengaku membaling batu sehingga dinding kaca Pejabat Agung Pas, pecah awal pagi Sabtu.

"Suspek mendakwa melakukan perbuatan itu kerana tidak sukakan parti Pas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini

Menurutnya, suspek yang mempunyai 16 rekod lampau itu ditahan di Chow Kit di sini, lebih kira-kira 10 malam, Ahad.

Katanya, saringan air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Siasatan kes dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan perbuatan khianat," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, polis sedang mengesan seorang lelaki yang bertindak memecahkan dinding kaca Pejabat Agung Pas.

Sebelum itu, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca pejabat parti itu dipecahkan oleh suspek sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 4:16 PM