RAZARUDIN Husain mengadakan sidang media susulan Hari Penamaan Calon PRN, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di enam negeri. FOTO Aswadi Alias
RAZARUDIN Husain mengadakan sidang media susulan Hari Penamaan Calon PRN, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di enam negeri. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengingatkan jangan membangkitkan isu sensitif membabitkan 3R iaitu agama, kaum dan Raja sepanjang tempoh ceramah dan berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri terbabit.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau mengingatkan sekali lagi ketika berceramah jangan menyentuh isu 3R sehingga membangkitkan kemarahan, kacau bilau dan kacau ganggu.

Menurutnya, bagi melancarkan proses berkempen dan pengundian pada 12 Ogos ini, mohon semua pihak supaya memastikan keselamatan dan parti yang bertanding di enam negeri ini memberi kerjasama dengan tidak memainkan isu 3R.

"Bertanggungjawablah bagi mengelak provokasi dan mengawal penyokong daripada insiden tidak diingini berlaku.

"Sekiranya proses kempen diadakan dalam media sosial juga kita akan siasat kerana polis memiliki pasukan Task Force 3R membabitkan 32 pegawai dan anggota yang memantaunya," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat B1, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan akan dilengkapkan dalam tempoh masa tujuh hari dan termasuk siasatan membabitkan kesalahan ketika berkempen sehingga pasca pengundian.

"Siasatan akan dijalankan dalam masa tujuh hari dan apabila ia dilengkapkan kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Kita tidak mahu ada kelewatan dalam siasatan membabitkan 3R danmungkin dalam tempoh lima hari sahaja kertas siasatan dapat dilengkapkan," katanya.

Beliau berkata, seramai 17,176 anggota dan pegawai PDRM juga ditugaskan di lapangan di 173 pusat penamaan calon di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Kedah pada hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 4:09 PM