Dun Juasseh N.15 menyaksikan pertembungan dua 'anak kampung' Kuala Pilah iaitu Bibi Sharliza (BN) dengan Eddin Syazlee Sith (BERSATU-PN). FOTO AHMAD HASBI
Dun Juasseh N.15 menyaksikan pertembungan dua 'anak kampung' Kuala Pilah iaitu Bibi Sharliza (BN) dengan Eddin Syazlee Sith (BERSATU-PN). FOTO AHMAD HASBI
Ahmad Hasbi


Kuala Pilah: Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Juasseh menyaksikan pertembungan dua 'anak kampung' Kuala Pilah, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (BN) dan Datuk Eddin Syazlee Sith (Bersatu).

Eddin Syazlee yang berasal dari Kampung Gentam, di sini, berkata, dia mengenali Bibi Sharliza yang juga isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad secara peribadi.

Malah, katanya, dia tidak mahu hubungan persahabatan dengan pasangan itu menjadi keruh hanya disebabkan mereka berbeza parti politik, sebaliknya mahu menggunakan platform berkenaan untuk berbakti kepada rakyat.

"Saya seronok bertanding bersama orang kampung dan saya percaya ini satu persaingan yang sihat. Saya mengenali calon BN, satu kampung.

"Kenduri kendara selalu berjumpa dan saya juga menghormati Tan Sri Isa. Kita sahabat tapi apa boleh, buat masing-masing ada tanggungjawab pada parti," katanya ketika ditemui sejurus selesai penamaan calon, hari ini.

Pengumuman rasmi pencalonan kedua-dua calon dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Juasseh Ir Shirin Idora Mahmod pada jam 10.30 pagi selepas mereka selesai mengisi borang pencalonan di Dewan Hadhari, Juasseh, di sini.

Eddin Syazlee bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah pernah memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, dia berharap tiada isu bersifat peribadi timbul sepanjang kempen dan kedua-dua pihak dapat menjalankan kempen secara sihat demi kepentingan rakyat.

Bibi Sharliza pula berkata, persaingan rakan sekampung itu amat baik bagi melahirkan pemimpin berbakat dan demi pembangunan di Dun Juasseh.

"Walaupun rakan sekampung tentulah kempennya berlainan kerana kami berlainan parti. Saya BN, beliau PN.

"Beliau berpangkat adik kepada saya. Saling mengenali, kakaknya sama sekolah dengan saya dan keluarganya duduk berhampiran dengan rumah saya di Gentam," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi Dun Juasseh dimenangi Datuk Ismail Lasim (BN) yang mendapat 4,146 undian.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 12:50 PM