Mohd Husni Mohd Noor


SIDANG Dewan Rakyat ditangguhkan seketika selepas Timbalan Menteri Komunikasi Eddin Syazlee Shith tiba-tiba pengsan ketika mendengar sesi soal jawab, 10.30 pagi, hari ini.

Sejurus selepas itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon kemudian menangguhkan sidang selama 10 minit.

Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah pengsan ketika sesi jawab lisan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Beliau di bawa keluar dari dewan dengan menaiki kerusi roda oleh pegawai perubatan sambil diiringi Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii yang juga seorang doktor perubatan.

Eddin Syazlee kemudian terus di bawa ke klinik Parlimen bagi mendapat rawatan awal.

Difahamkan, beliau akan di bawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Dr Kelvin ketika ditemui berkata, Eddin Syazlee mengalami sesak nafas.

"Beliau pernah ada rekod sakit jantung sebelum ini," katanya.

Sidang kembali bersambung 10.43 pagi ini

Rashid memaklumkan, beliau meminta semua ahli dewan supaya bertenang dan mendoakan semoga Eddin Syazlee sihat walafiat.

"Saya minta semua bertenang dan doakan agar beliau sihat walafiat," katanya.

Pada 21 Oktober lalu, Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman rebah ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri Komunikasi Eddin Syazlee Shith di bawa keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN). FOTO Mohd Husni Mohd Noor
Timbalan Menteri Komunikasi Eddin Syazlee Shith di bawa keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN). FOTO Mohd Husni Mohd Noor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 11:29 AM