Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Teka teki sama ada Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dicalonkan bagi mewakili Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan akhirnya terjawab.

Nama kedua-dua pemimpin itu tidak diumum sebagai calon Pas yang akan bertanding, oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Majlis Pengisytiharan Calon PN Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor.

Annuar sebelum ini dikatakan bakal bertanding di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam Parlimen Ketereh, manakala Nik Mohamad Abduh pula dikhabar bertanding di Dun Chempaka selepas namanya digugurkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor berkata, meminta semua pihak menunggu hari penamaan calon untuk mengetahui sama ada Mohamad Abduh yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, tercalon atau sebaliknya.

Beliau juga dilapor berkata akan ada kejutan pada senarai calon Pas termasuk mungkin menampilkan tokoh Umno.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 11:47 PM