PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Besar Kelantan Merangkap Timbalan Mursyidur AM PAS, Datuk Ahmad Yakob di majlis pengisytiharan calon PAS Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Syamsi Suhaimi
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Besar Kelantan Merangkap Timbalan Mursyidur AM PAS, Datuk Ahmad Yakob di majlis pengisytiharan calon PAS Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14) di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. - Foto Syamsi Suhaimi
Oleh Mohd Zulkifli Zainuddin dan Attirmidzie Rahman


PAS Kelantan malam ini mengumumkan 59 calon untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) termasuk tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berpindah ke Parlimen.

Antaranya, Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi dari DUN Wakaf Bharu ke Parlimen Tumpat; Timbalan Speaker DUN Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman (Mengkebang ke Kuala Krai); dan Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat (Pulai Chondong ke Machang).

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari menjadi antara 21 muka baharu yang akan bertanding di Parlimen Pasir Mas menggantikan bekas Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berpindah ke Parlimen Bachok.

Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Nik Muhamad Zawawi Nik Salleh akan bertanding di Parlimen Pasir Puteh, bertembung calon BN yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di Parlimen Kubang Kerian.

Seramai 26 penyandang mempertahankan di kerusi masing-masing termasuk Menteri Besar yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob di DUN Pasir Pekan; Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (DUN Panchor) manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen Kota Bharu).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Mumtaz Md Nawi yang khabar angin sebelum ini dikatakan gugur turut tersenarai kekal di DUN Demit.

Majlis pengumuman calon itu dilakukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dataran Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Ada 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN di Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:03 AM