NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. FOTO Hafizudin Mohd Safar
NIK Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Adik kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah adalah punca kepada Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.

Nik Din Nik Mat turut mendedahkan, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar, selain Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta PAS Kelantan menyenaraikan nama Nik Mohamad Abduh.

Dakwanya, tindakan itu dibuat kerana calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor itu tidak mahu keluarga Allahyarham Nik Abdul Azizi bertapak di Pengkalan Chepa.

Pendedahan itu dikongsikan menerusi satu rakaman video berdurasi dua minit 33 saat yang tular sejak petang ini.

"Hari ini adalah hari penamaan calon dan pada hari pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) nama Nik Mohamad Abduh tidak tersenarai untuk DUN Chempaka.

"Saya hairan kerana pada 23 Jun lalu saya sendiri pergi berjumpa dengan Presiden Pas dan bertanyakan sama ada parti masih memerlukan Nik Mohamad Abduh.

"Presiden Pas jawab memang kita perlukan Nik Mohamad Abduh kerana beliau cerdik, kerja bagus dan dalam Parlimen pun sentiasa bersuara. Jadi saya meminta Nik Mohamad Abduh diberikan kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa, tidak kira mana-mana kerusi," katanya.

Beliau berkata, bila DUN Chempaka kosong dan melihat nama Nik Mohamad Abduh tidak tersenarai, dia yakin itu adalah kerja Mohd Amar.

"Apa yang sampai di telinga saya, beliau (Mohd Amar) tidak bagi keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di kawasan Pengkalan Chepa.

"Jadi, saya merayu kepada mereka yang melihat video ini termasuk pengundi di DUN Panchor supaya tidak mengundi Mohd Amar dan biar beliau kalah.

"Biar dia tahu langit tinggi rendah kerana dia naik pun kerana rakyat. Biar dia kalah sekali dan rasa. Sekiranya ada orang seperti ini dalam Pas, ia akan merosakkan parti," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohd Abduh tidak tercalon pada PRN di Kelantan walaupun nama beliau disebut-sebut bakal bertanding di salah satu kerusi dalam Parlimen Pengkalan Chepa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 5:16 PM