Nik Mohamad Abduh
Nik Mohamad Abduh
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Saya pertahan kenyataan saya dan tidak sesekali membuat fitnah terhadap Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah."

Demikian kata Nik Din Nik Mat, adik kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil mengulangi kenyataannya bahawa anak saudaranya tidak menolak mana-mana tawaran untuk bertanding sebagaimana yang didakwa pimpinan parti itu.

"Memang dulu masa Pilihan Raya Umum (PRU), Nik Mohamad Abduh menolak untuk bertanding di Parlimen Bachok, namun untuk PRN kali ini situasinya bukan begitu.

"Saya tidak berbohong kerana saya sendiri yang berjumpa dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

"Memang Nik Mohamad Abduh tidak meminta mana-mana kerusi, namun saya yang nyatakan untuk beliau diletakkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Din berkata, dengan situasi yang berlaku, anak saudaranya tetap menyokong calon Dun Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah.

"Dia (Nik Mohamad Abduh) ni orang baik, mana ada nak buat orang," katanya.

Terdahulu, Nik Din mendedahkan Mohd Amar adalah punca yang menyebabkan Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan di Dun Chempaka.

Katanya, nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar, malah Abdul Hadi turut menghantar surat meminta Pas Kelantan menyenaraikan nama anak saudaranya itu.

Bagaimanapun, Mohd Amar menafikan tuduhan berkenaan dan menyifatkan segala dakwaan yang mengaitkan dirinya adalah fitnah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 4:13 PM