Jasmine Loo Ai Swan
Jasmine Loo Ai Swan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata beliau pernah menjadi rakan kongsi di bawah firma guaman yang sama dengan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan.

Jasmine dikatakan antara sekutu rapat Jho Low yang terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Perkara itu didedahkan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi ketika prosiding perbicaraan rasuah RM2.3 bilion membabitkan 1MDB terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Beliau berkata demikian sejurus selepas peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib bertanya kepada pasukan pendakwaan sama ada mereka akan memanggil Jasmine untuk memberi keterangan berikutan wanita itu menjadi saksi relevan selepas Jho Low.

Hakim Sequerah berkata beliau dan Jasmine menjadi rakan kongsi dalam firma guaman sama ketika masih bergelar peguam.

"Individu itu (dan saya) pernah menjadi rakan kongsi bersama secara rasmi. Saya fikir perlu membuat pendedahan ini. Ini ketika saya sebagai peguam, mungkin 10 hingga 15 tahun (yang lalu)," katanya.

Menjawab pertanyaan Muhammad Shafee berhubung perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan bahawa Jasmine masih dalam tahanan polis.

"Dia masih dalam siasatan. Saya pasti kenyataan sudah direkodkan, buat masa ini kami (di) AGC belum menerima sebarang hasil siasatan atau kenyataan daripadanya lagi.

"Oleh itu, saya tidak boleh membuat keputusan sekarang sama ada kita akan memanggilnya atau tidak (sebagai saksi)," katanya.

Jasmine ditahan pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya dan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 6:14 PM