JASMINE Loo Ai Swan.
JASMINE Loo Ai Swan.
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Bekas peguam 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis Jumaat lalu bagi siasatan berkait maklumat kes 1MDB.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata individu terbabit direman pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi.

"Suspek ditahan di Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu sebelum direman keesokannya. Polis mempunyai beberapa perkara yang perlu disiasat.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

"Peguam wanita itu memaklumkan suspek sedia beri kerjasama untuk bantu Polis Diraja Malaysia dan kerajaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Saifuddin berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkembangan kes dan menyerahkan dahulu kepada polis bagi siasatan lanjut.

"Biar polis jalankan tugas dahulu, saya tidak mahu komen. Kes ini (1MDB) memang belum selesai, apapun tindakan lanjut biarikut lunas undang-undang," katanya.

Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.

Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 3:04 PM