SALAHUDDIN. FOTO Arkib NSTP
SALAHUDDIN. FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad

Johor Bahru: "Sentiasa utamakan rakyat, jangan biar rakyat tidur dengan perut kosong,"demikian nasihat yang sering dilontarkan Menteri Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam setiap pertemuan bersama kementeriannya.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata pemimpin mereka itu ibarat figura 'ayah' yang tegas memperjuangkan nasib rakyat, tetapi dalam 'cara' yang lembut terhadap kepimpinan.

Katanya kehilangan Salahuddin amat dirasai warga KPDN Johor kerana Ahli Parlimen Pulai itu kerap pulang ke kawasan dan menghadiri program kementerian.

"Arwah seorang yang sangat baik, beliau akan hadir setiap program kementerian, bagi memberi sokongan terutama yang membabitkan kebajikan rakyat, khususnya Payung Rahmah.

"Selalu kalau ucapan, Arwah akan mulakan dengan mukadimah yang akan kita ingat, contoh kita sebagai penjawat awam pegawai KPDN agar ingat, denyut nadi rakyat, pastikan rakyat tidak ada yang tidur dengan keadaan perut kosong

"Biarpun tidak sampai setahun di bawah kepimpinan Allahyarham, kami rasa sudah mesra kerana keperibadiannya yang sederhana.

"Kehilangan Allahyarham memang memberi kesan yang dalam, tetapi kami akan terus berpegang kepada pesanannya dalam menjalankan tanggungjawab demi rakyat, "katanya dengan nada sebak.

LILIS Saslinda (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama program CIP KPS yang akan mewakili Johor ke peringkat kebangsaan di Miri Sarawak pada Ogos. FOTO Omar Ahmad
LILIS Saslinda (tiga kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama program CIP KPS yang akan mewakili Johor ke peringkat kebangsaan di Miri Sarawak pada Ogos. FOTO Omar Ahmad

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Cabaran Interaktif Pengguna (CIP KPS) peringkat negeri di Pusat Membeli-belah Toppen di sini, hari ini.

Kelmarin, Salahuddin menghembuskan nafas terakhir lebih kurang jam 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dekat Alor Setar Kedah, selepas dimasukkan ke hospital pada Jumaat lalu mengalami muntah dan mual.

Allahyarham yang meninggalkan seorang balu dan enam anak, dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat Pontian, pada tengahari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 4:31 PM