KUMPULAN The 1975. FOTO AFP
KUMPULAN The 1975. FOTO AFP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Bukan hanya penganjur, malah ahli kumpulan muzik antarabangsa, The 1975 yang berkelakuan kurang sopan ketika membuat persembahan di Sepang, Selangor malam kelmarin, perlu didakwa di mahkamah.

Ahli Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu luar yang tidak menghormati undang-undang negara ini.

"Kita tidak perlu selalu berlembut dengan mereka ini. Setiap negara ada budaya, undang-undang dan amalan yang kita mesti hormati dan sebagai orang luar mereka hendaklah berkelakuan sebagai pelawat jadi hormatilah undang-undang kita.

"Mereka tidak hormat undang-undang kita mungkin sebab tak tahu. Tetapi jelas kumpulan ini tahu tentang polisi dan undang-undang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara kita.

"Sebab itu dia hina kita. Memang sengaja dibuat bukan kerana silap faham. Oleh itu perlu dibawa tuduhan (didakwa) terhadap mereka juga selain penganjur," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai tindakan vokalis The 1975, Matty Healy yang berkelakuan kurang sopan bersama pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds ketika membuat persembahan di pentas berkenaan.

Mengulas lanjut isu berkenaan beliau berkata, sudah semestinya penganjur perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku walaupun mungkin perkara itu di luar kawalan mereka.

"Saya rasa penganjur tidak dapat kawal artis yang membuat persembahan itu tetapi apapun penganjur perlu dipertanggungjawabkan kerana mereka yang membawa masuk kumpulan ini.

"Syarat sekarang pun rasanya sudah ketat tetapi penganjur perlu lebih bertanggungjawab membuat tapisan atau memilih artis yang dibawa masuk.

"Selain itu, mungkin mereka (Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) juga boleh kenakan cagaran lebih besar terhadap penganjur dan forfeit cagaran (tidak dipulangkan) jika artis membuat salah," katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memanggil penganjur bagi memberi penjelasan berhubung isu itu.

Malah, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui JK-PUSPAL semalam turut memutuskan senarai hitamkan The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 5:05 PM