Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
BERNAMA

Shah Alam: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyokong arahan pembatalan penganjuran Festival Good Vibes 2023 susulan aksi dan kenyataan biadab kumpulan pop rock dari United Kingdom, The 1975 di Sepang, kelmarin.

Hannah berkata, tindakan kumpulan itu tidak wajar dan tidak menghormati syarat penganjuran persembahan.

"Saya telah hubungi Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan menyokong tindakan beliau kerana setiap penganjuran program ada syarat dan terma yang telah dipersetujui penganjur, jadi penganjur perlu patuh dengan syarat yang diberikan.

"Saya berharap kumpulan belia di Malaysia tahu kita menyokong kebebasan untuk bersuara, kebebasan untuk ekspresi tetapi ada batasnya dan kena ikut undang-undang di Malaysia," katanya ketika ditemui pada majlis penutup Kejohanan Artalive Challenge Cup Amputee Football 2023, di sini, hari ini.

Semalam, Fahmi yang menyifatkan tindakan kumpulan itu sebagai sangat biadap telah mengarahkan supaya penganjuran Festival Good Vibes 2023 yang masih berbaki sehingga semalam dibatalkan serta-merta.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) kelmarin memutuskan untuk menyenaraihitamkan kumpulan itu daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

Sewaktu persembahan Jumaat lalu, vokalis The 1975 Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Terdahulu, Hannah merasmikan majlis penutup kejohanan itu yang disertai empat pasukan anjuran Persatuan Bolasepak Orang Kudung Malaysia (MAFA) serta menonton aksi final membabitkan Malaysia dan Indonesia yang dimenangi pasukan negara jiran itu 2-0.

Hannah turut mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada MAFA bagi menampung kos penganjuran kejohanan yang berlangsung sejak Jumaat lalu.

"Saya mahu kumpulan ini tahu bahawa ada kehidupan selepas amputasi dan saya berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh terus menyokong usaha untuk mereka kekal sihat dan mempunyai platform bagi berinteraksi dengan kawan-kawan lain," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 4:14 PM