FAHMI Fadzil berucap ketika Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Peringkat Wilayah Persekutuan di sini. FOTO Eizairi Shamsudin
FAHMI Fadzil berucap ketika Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Peringkat Wilayah Persekutuan di sini. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mengarahkan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) untuk menyenaraikan penambahbaikan penganjuran persembahan di negara ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, pihaknya mengarahkan JK-PUSPAL untuk memberinya senarai tersebut pada minggu hadapan bagi memastikan kejadian membabitkan kumpulan muzik British, The 1975 tidak berulang kembali.

"JK-PUSPAL ini dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

"Insya-Allah beliau akan menyediakan draf yang terbaru untuk kita pertimbangkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang," katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Komuniti Madani Peringkat Wilayah Persekutuan hari ini.

Sewaktu persembahan malam tadi, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, susulan insiden kumpulan The 1975, pihaknya memanggil JK-PUSPAL bagi memberikan taklimat padanya mengenai situasi yang berlaku.

Katanya, pada Jun lalu, JK-PUSPAL memaklumkan mereka tidak menerima penyertaan persembahan kumpulan The 1975 itu.

"Tetapi pihak penganjur membuat rayuan pertengahan Julai. Dalam surat rayuan itu, mereka turut sertakan surat akujanji daripada pengurus kumpulan The 1975 yang menyatakan mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan tersebut.

"Jadi bagi saya, kebanyakan daripada garis panduan yang ditetapkan oleh pihak JK-PUSPAL adalah jelas.

"Dalam insiden seperti ini, kita lihat berlaku keadaan yang sangat keterlanjuran dan biadap. Akhirnya kita ambil tindakan seperti yang diumumkan pada hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 5:52 PM