Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, mengadakan Sidang Media, Sempena Sambutan Hari Malaysia, yang akan disambut pada 16 September, di Stadium Perpaduan Kuching di Pusat Media JPJKK IPK Sarawak.FOOT NADIM BOKHARI
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, mengadakan Sidang Media, Sempena Sambutan Hari Malaysia, yang akan disambut pada 16 September, di Stadium Perpaduan Kuching di Pusat Media JPJKK IPK Sarawak.FOOT NADIM BOKHARI
Erika George


Kuching: Gara-gara panik, penjawat awam wanita kerugian hampir RM600,000 akibat terpedaya dengan sindiket panggilan telefon atau phone scam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan mengenai kes penipuan melalui panggilan telefon pada 12 September lalu.

Menurutnya, pada awal Ogos lalu, mangsa berusia 40 tahun menerima panggilan dari seorang lelaki yang tidak dikenali mengaku dari syarikat penghantaran di Perak.

"Suspek mengatakan mangsa menghantar satu bungkusan mengandungi beberapa keping kad pengenalan, namun wanita itu menafikan perkara terbabit.

"Mangsa disambungkan kepada seorang lelaki bernama 'Tuan Zakim' kononnya dari Balai Polis Perak yang mana suspek memarahinya kerana tidak memberi kerjasama.

"Panggilan telefon kemudian disambungkan kepada Ketua Operasi bernama 'ASP Mokhtar' sebelum mangsa dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek mengatakan dia terbabit dalam kes pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, disebabkan terlalu panik, mangsa mengikuti segala arahan yang diberikan termasuk dilarang menceritakan kes berkenaan kepada orang lain.

Katanya, pada awal Ogos lalu, mangsa diarah melakukan dua transaksi pemindahan wang berjumlah RM20,000 ke dua akaun bank bagi tujuan pengauditan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Mangsa juga diarah membuat pinjaman dari beberapa institusi kewangan sebelum kesemua wang pinjaman, deposit tetap dan SSPN berjumlah keseluruhan RM580,000 dipindahkan ke lima akaun bank berbeza sepanjang bulan lalu.

"Mangsa hanya menyedari dia menjadi mangsa penipuan selepas suspek gagal dihubungi sebelum tampil membuat laporan polis bagi siasatan lanjut," ujarnya.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 3:47 PM