APMM melupuskan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak di kawasan Tok Bali, Kelantan. FOTO ihsan APMM
APMM melupuskan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak di kawasan Tok Bali, Kelantan. FOTO ihsan APMM
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan secara hancur musnah dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak di kawasan Tok Bali, Kelantan, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, kaedah hancur musnah dilaksanakan ke atas bot yang bersaiz di bawah 70 GRT (gross register tonnage).

Beliau berkata, ia adalah pelupusan siri yang kelima pada 2023 membabitkan 12 bot.

"Tindakan pelupusan diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Bot yang dihancur musnah kali ini merupakan bot yang ditahan bersama 12 kru termasuk tekong pada tahun lalu di sekitar kedudukan 102 batu nautika dari Kuala Terengganu kerana didapati menceroboh perairan dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 1:07 PM