Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh dan mencuri hasil laut negara membabitkan rampasan bernilai RM3 juta.

Kedua-dua bot nelayan itu ditahan APMM ketika Op Kuda Laut pada jarak antara 78 dan 80 batu nautika barat laut dari Kuala Terengganu antara 8 dan 10 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pesawat udara APMM bersama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang mengadakan rondaan udara untuk memantau keadaan semasa Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia mengesan bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.

Menurutnya, maklumat segera disalurkan kepada aset laut APMM dan Kapal Maritim (KM) NUSA yang sedang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) segera diatur gerak ke lokasi berkenaan.

"Sebaik tiba di lokasi berkenaan, KM NUSA menahan bot pertama bersama 14 kru termasuk tekong manakala 10 lagi kru termasuk tekong ditahan ketika pemeriksaan dijalankan terhadap bot kedua.

"Semua 24 nelayan berusia antara 17 hingga 61 tahun ditahan kerana menceroboh perairan negara dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta tidak memiliki kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

"Pemeriksaan lanjut terhadap dua bot nelayan itu menemui hasil tangkapan laut, bekalan diesel dan peralatan menangkap ikan dengan rampasan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, semua yang ditahan dibawa ke pejabat APMM Terengganu bagi menjalani proses saringan Covid-19.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

BOT nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara dan mencuri hasil laut. FOTO Ihsan APMM
BOT nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negara dan mencuri hasil laut. FOTO Ihsan APMM

Dalam pada itu, Muhammad Suffi berkata, sebanyak 94 bot nelayan Vietnam membabitkan 1,032 kru termasuk tekong ditahan sejak pelaksanaan Op Kuda Laut.

Katanya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama nelayan asing yang menceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 8:32 PM