BOT nelayan asing yang dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kuala Besar, Kelantan. FOTO Ihsan APMM.
BOT nelayan asing yang dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Kuala Besar, Kelantan. FOTO Ihsan APMM.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah melupuskan 106 bot nelayan asing yang dilucut hak dalam tempoh bermula 2020 hingga semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, ia dilupuskan dengan kaedah pelupusan secara tenggelam untuk dijadikan tukun di sekitar perairan Kuala Terengganu dan kaedah musnah pecah dengan anggaran nilai perolehan asal bot sebanyak RM26 juta.

Beliau berkata, ia termasuk empat bot nelayan Vietnam yang dilupuskan dengan kaedah musnah pecah di Kuala Besar, Kelantan, semalam.

"Empat bot itu adalah hasil tangkapan aset APMM Terengganu pada 2022 dan 2023 dengan anggaran nilai bot yang dilupuskan berjumlah hampir RM450,000.

"Pelupusan empat bot ini adalah proses kali pertama APMM Terengganu bagi 2024.

"Kaedah musnah pecah ini hanya dilakukan pada bot yang bersaiz di bawah 70 gross registered tonnage (GRT) yang mana menurut Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) bot berkenaan tidak sesuai untuk dijadikan tukun kerana mudah hancur dan hanyut di dalam air," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Khairulanuar berkata, terdapat 12 bot nelayan asing yang sudah mendapat kelulusan pelupusan dan akan melalui proses pelupusan pada tahun ini.

Katanya, APMM Terengganu akan terus mempertingkatkan rondaan di sekitar sempadan perairan negara bagi membanteras kegiatan bot nelayan asing yang mencuri hasil laut negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 7:07 PM