Onn Hafiz berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Simpang Renggam dan Parlimen Simpang Renggam di Pusat Perdagangan Majlis Daerah Simpang Renggam hari ini. FOTO BERNAMA
Onn Hafiz berucap pada Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Simpang Renggam dan Parlimen Simpang Renggam di Pusat Perdagangan Majlis Daerah Simpang Renggam hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kluang: Kerajaan Johor akan memastikan masalah 'tidak cukup' air yang berlaku di negeri ini terutamanya ketika musim perayaan tidak lagi berulang dengan merangka beberapa langkah penyelesaian.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, walaupun masalah bekalan utiliti berkenaan yang berlaku pada Aidilfitri lalu tidak seburuk tahun lepas, ia tetap mengganggu kelancaran lebaran bagi mereka yang terbabit.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan berusaha memastikan sifar masalah bekalan air pada hari raya tahun hadapan dengan beberapa langkah diambil termasuk menambah baik sistem yang ada.

"Saya dengar antara kawasan yang teruk mengalami masalah air ialah daerah Kluang, hampir dua minggu ketika raya berhadapan dengan masalah air, setiap masa saya rasa risau dan kalau boleh masalah ini selesai segera.

"Untuk mengatasi masalah ini, saya bukan saja berbincang dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri tetapi juga dengan orang yang berpengalaman seperti Datuk Seri Hasni Mohamad (Ahli Parlimen Simpang Renggam) dan beberapa yang lain," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Simpang Renggam di Pusat Perdagangan Majlis Daerah Simpang Renggam, dekat sini, hari ini.

Selain masalah bekalan air, Onn Hafiz berkata, pentadbirannya akan cuba mengatasi masalah banjir yang berlaku setiap kali musim tengkujuh.

Beliau berkata, beberapa langkah diambil dan dilaksanakan secara berperingkat antaranya membina projek tebatan banjir di empangan.

"Kita tidak mahu setiap kali datangnya musim hujan atau tengkujuh, banjir berlaku sekali gus menyebabkan rakyat di negeri ini terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 6:23 PM