GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pemilik syarikat yang juga ejen sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa lalu, direman empat hari.

Lelaki berusia 43 tahun terbabit direman bermula semalam sehingga 22 Julai ini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Nor Syakirah Che Hashim selepas menerima permohonan dibuat pegawai pendakwa SPRM.

Terdahulu, suspek yang dicari SPRM ditahan selepas hadir menyerah diri di pejabat SPRM Selangor jam 6 petang, Selasa.

Siasatan mendapati dia yang juga pemilik syarikat turut menjadi ejen pelupusan sisik tenggiling itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, tujuh individu berusia antara 30 hingga 59 tahun membabitkan warga Malaysia, Bangladesh, Pakistan dan Nepal ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Daripada keseluruhan ditahan itu, empat daripadanya direman sementara tiga lagi warga asing diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 12:44 PM