Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media selepas mengadakan taklimat berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media selepas mengadakan taklimat berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyelesaikan sebarang kes berhubung kesalahan pilihan raya dalam tempoh tujuh hari.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan segera akan dilakukan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya negeri masing-masing.

Katanya, polis juga akan mewujudkan pasukan rondaan Op Cantas untuk melaksanakan rondaan sepanjang tempoh berkempen.

"Justeru, saya mengingatkan semua pihak supaya tidak melakukan sebarang insiden atau kesalahan sama ada membakar bendera parti atau sebagainya sepanjang tempoh berkempen berlangsung.

"Ini kerana mereka yang terbabit dengan sebarang kesalahan pilihan raya akan didakwa di mahkamah secepat mungkin," katanya pada sidang media selepas mengadakan taklimat berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Mengulas lanjut beliau berkata, selepas proses penamaan calon nanti, Ketua Polis Daerah akan menerangkan kepada calon dan wakil masing-masing apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Malah kita juga akan mengenal pasti pihak yang terbabit dengan pemasangan bendera bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

"Jadi, kita berharap tidak berlaku sebarang kejadian seperti bakar atau merosakkan bendera yang boleh mencetus perbalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 4:18 PM