FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Hanya empat daripada 570 calon yang bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lalu memperoleh bawah 100 undi.

Di Negeri Sembilan, Yessu Samuel yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Nilai dengan memperoleh undi paling rendah iaitu 57 undi dalam pertembungan empat penjuru yang pemenangnya, J Arul Kumar (PH) mendapat 19,133 undi.

Bujang Abu yang juga calon Bebas di Negeri Sembilan turut kecundang dengan meraih di bawah 100 undi apabila hanya mendapat sebanyak 83 undi.

Beliau bersaing empat penjuru untuk kerusi itu yang dimenangi Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) dengan 12,730 undi.

Di Pulau Pinang, Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia (PRM) MS Ravinder Singh, 81, yang bertanding di DUN Pantai Jerejak hanya mendapat 76 undi.

Beliau juga adalah calon tertua PRN membabitkan enam negeri kali ini.

Seorang lagi calon PRN yang meraih undi di bawah 100 undi adalah calon Bebas yang juga bekas pensyarah bidang arkitek, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 56, yang bertanding di DUN Kota Lama di Kelantan apabila meraih hanya 85 undi.

Sebelum ini, Izat Bukhary pernah bertanding sebanyak dua kali masing-masing di DUN Kota Lama dan DUN Pengkalan Kubor.

Beliau juga bertanding sekali di DUN Chempaka, Parlimen Kota Bharu, Parlimen Kuala Kangsar dan kesemuanya tewas.

Penganalisis politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, senario kepada empat calon itu termasuk 96 calon lain yang hilang deposit di PRN membuktikan pengundi tidak bersedia menerima calon selain daripada wakil parti besar dan kukuh.

"Ini jelas membuktikan sistem demokrasi negara masih lagi berbentuk kepartian dan dalam elemen kepartian pula masih terikat dengan parti gergasi yang mempunyai sejarah serta ahli akar umbi yang ramai," katanya.

Beliau berkata, corak pengundian lama berasaskan elemen kepartian dengan idealogi berkaitan lebih diyakini walaupun tidak menafikan penyertaan parti baru atau calon Bebas menampakkan suburnya demokrasi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2023 @ 3:25 PM