GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: PKR dijangka akan bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, 12 Ogos depan.

Tujuh kerusi berkenaan ialah DUN Panchor, Pasir Tumbuh, Pasir Pekan, Kota Lama, Limbongan, Mengkebang dan Chetok.

Berdasarkan senarai kerusi DUN yang diperoleh oleh PKR, ia ternyata bukan laluan mudah untuk PKR memenangi kerusi berkenaan memandangkan saingan membabitkan nama besar parti lawan.

Bagi DUN Pasir Pekan, calon PKR dijangka menentang Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan bagi DUN Panchor pula calon parti itu dijangka bersaing dengan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan, parti itu mensasarkan tiga kerusi akan dimenangi termasuk di DUN Kota Lama.

Perkara itu diakui pimpinan PKR negeri yang menyifatkan tugas berat buat mereka bagi berdepan PRN apabila kerusi yang ditandingi mereka adalah kubu kuat pihak lawan.

"Kita akui tugas berat terutama membabitkan DUN Pasir Pekan dan Panchor, namun kita akan berusaha sedaya-upaya bagi menarik pengundi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 2:46 PM