Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri mengumumkan Ahad ini sebagai Hari Kelepasan Am sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Jumaat dan Sabtu ini sebagai Hari Kelepasan Am di seluruh negara bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

Beliau berkata, Hari Kelepasan Am diumumkan itu jatuh pada Hari Kelepasan Mingguan bagi Terengganu iaitu pada Jumaat dan Sabtu sekali gus menyebabkan cuti pada Sabtu digantikan pada hari berikutnya iaitu Ahad.

Katanya, keputusan itu adalah selaras dengan Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951.

"Sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri bahawa pada Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum dan keadaan di Terengganu, saya sudah semak bahawa secara automatiknya di Terengganu pada Ahad juga adalah cuti.

"Oleh kerana pada Sabtu adalah cuti (mingguan) di Terengganu, (jadi) bila diisytiharkan cuti maka (cuti itu) dibawa ke hari Ahad," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan Hari Kelepasan Am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan rakyat Malaysia pulang mengundi sempena PRU-15.

Selain pengumuman cuti, kerajaan turut mengumumkan tawaran tol percuma oleh 30 syarikat konsesi lebuh raya pada hari sama.

AHMAD Samsuri semasa hadir pada program sesi Slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri semasa hadir pada program sesi Slot Town Hall Mahasiswa Terengganu 2022 di Taman Tamadun Islam. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 4:22 PM