Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Batu Gajah: Kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat sangat bersyukur dengan pengiktirafan Seniman Diraja yang diberikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena perasmian Galeri Rumah Lat di Jalan Bemban, di sini, hari ini.

Lat berkata, beliau memang tidak menyangka akan menerima pengiktirafan itu daripada Sultan Nazrin.

"Saya tak sangka. Jadi kalau disebut Seniman Diraja, memang saya teringatkan juga ada rakan-rakan yang mendapat gelaran Pelukis Diraja.

"Memang karya dan usaha seniman serta pengkarya dalam kalangan rakyat diiktiraf oleh istana.

"Saya bersyukur dan menjunjung kasih kepada Tuanku," katanya.

Terdahulu, Sultan Nazrin dalam titahnya menyifatkan bimbingan The New Straits Times (NST) antara faktor penting di sebalik kejayaan Lat sehingga namanya sentiasa menjadi sebutan, selain kebijaksanaan Lat sendiri.

Mula melukis komik pertamanya pada usia 13 tahun berjudul 'Tiga Sekawan Menangkap Penchuri' (1964), Lat memulakan siri 'Keluarga Si Mamat' ketika di Tingkatan Empat dalam akhbar Berita Minggu (kini BH Ahad) pada 1968 yang diterbitkan berlanjutan sehingga 26 tahun.

Selepas lebih lima tahun bertugas sebagai wartawan meja jenayah BH dan NST, Lat kemudiannya dilantik sebagai kartunis sepenuh masa bagi NST iaitu menjelang akhir 1975.

LAT bersama karya beliau. FOTO L Manimaran
LAT bersama karya beliau. FOTO L Manimaran

Lat kemudiannya mula dikenali sebagai kartunis editorial yang menggarap tema sosiopolitik pada 1975 menerusi ruangan "Scenes of Malaysian Life" dalam akhbar NST di bawah New Straits Times Press (NSTP).

Bagaimanapun Lat mengambil keputusan berhenti pada 1984 untuk menjadi kartunis bebas sepenuh masa.

Biarpun tidak lagi berkhidmat dengan NST, Lat masih meneruskan siri 'Keluarga Si Mamat' serta 'Scenes of Malaysian Life' menerusi syarikat penerbitan miliknya iaitu Kampung Boy Sdn Bhd.

Lat kemudiannya menerbitkan novel kartun 'Mat Som' pada 1989 yang menceritakan mengenai kehidupan seorang wartawan sambilan di ibu kota sebelum diadaptasikan ke layar perak pada 1990.

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui sembah ucapan sempena majlis perasmian Galeri Rumah Lat berkata, galeri itu dibina dengan kos RM3.81 juta dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang menempatkan hasil karya seni dihasilkan Lat sejak 1962.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2023 @ 3:02 PM