Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Selepas 32 tahun karya kartun Mat Som diterbitkan kali pertama, kartunis terkenal tanah air, Datuk Mohammad Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Datuk Lat optimis untuk menerbitkan Mat Som 2, tahun ini.

Lat, 70, berkata sehingga kini beliau sudah menyiapkan 150 halaman muka surat bersaiz A5 bagi novel grafik berkonsepkan komik itu yang sebelum ini diterbitkan pada 1989 bagi edisi pertama.

Beliau berkata komik berkenaan akan dilancarkan serentak dengan perasmian dan pembukaan Galeri Rumah Lat di Batu Gajah yang dijangka pada Julai ini.

"Selama ini saya sering beritahu orang lain bahawa buku (komik) itu hampir siap namun ia tidak juga siap walaupun sudah lama saya mahu menerbitkannya. Sampaikan bila dikenang kembali tarikh saya mula melukis komik itu, timbul perasaan malu pada diri saya sendiri.

"Mana tidaknya apabila lepas buat (lukis) saya simpan, lepas buat saya simpan. Pulang sahaja ke rumah rasa macam hendak melukis namun sesudah berada di rumah, perasaan malas itu timbul selain kadang-kadang terlupa untuk menyambungnya (karya itu)," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Galeri Cikgu Ramli di Hala Klebang Restu, di sini, semalam.

DATUK Lat (kanan) ketika dijemput merasmikan Galeri Cikgu Ramli di Hala Klebang Restu, di sini, semalam. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
DATUK Lat (kanan) ketika dijemput merasmikan Galeri Cikgu Ramli di Hala Klebang Restu, di sini, semalam. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI

Beliau berkata, Mat Som 2 menggambarkan kehidupan anak muda dalam usia lepasan sekolah atau kolej berkonsepkan keinginan mencari hala tuju kehidupan selain cuba menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling dalam suasana di ibu kota, yang juga merakamkan kehidupannya secara peribadi.

Sementara itu Lat berkata, pembinaan Galeri Rumah Lat yang membabitkan dua struktur berbeza sudah siap sepenuhnya.

"Kini ia hanya tinggal untuk susun atur perabot serta koleksi barangan yang hendak dipamerkan di dalamnya.

"Saya dimaklumkan Jabatan Muzium Malaysia cawangan Perak bahawa pihaknya akan mengendalikan galeri itu dan akan dibuka Julai nanti. Saya harapkan ia dapat disiapkan sebelum Ogos yang juga bulan kemerdekaan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 10:36 AM