KOC Wanita - Gambar hiasan
KOC Wanita - Gambar hiasan
Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Perkhidmatan koc wanita Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau akan mengumumkan fasa percubaan koc berkenaan tidak lama lagi sebagai salah satu inisiatif memahami kesulitan dialami golongan wanita.

"Koc wanita yang dilaksanakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sejak beberapa tahun lalu memang satu perkhidmatan diminati golongan wanita.

"Kita faham pengguna pengangkutan awam terutama wanita ada kebimbangan keselamatan dan ada rasa tidak selesa kalau berpusu-pusu dalam satu gerabak bimbang diganggu dan sebagainya jadi kita akan cuba perkenalkan koc wanita untuk MRT" katanya selepas mengadakan lawatan ke Sri Pentas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, memang ada kekangan dan cabaran apabila memperkenalkan koc wanita dalam MRT.

"Berbeza dengan komuter KTMB, perjalanannya antara bandar jarak jauh dan tidak banyak stesen. KTMB ada enam koc tetapi MRT dan LRT ada empat koc saja jadi kalau dedikasikan satu koc untuk wanita maka dari segi operasi agak mencabar dan transit pergerakan penumpangnya agak cepat dan sukar kita kawal.

"Apapun kita akan cuba perkenalkan koc wanita ini untuk MRT dan kita lihat apakah maklum balas daripada rakyat nanti," katanya.

Untuk rekod, koc wanita diperkenalkan dalam komuter KTMB pada 2010 berjaya menarik minat penumpang wanita.

Sementara itu Loke berkata, kementeriannya tekad akan menjadikan pengangkutan awam sebagai salah satu pilihan ramai rakyat Malaysia terutama golongan muda.

"Kita akui memang pengangkutan awam kita masih perlu diperbaiki termasuk dari segi perkhidmatan, frekuensi dan liabiliti semua itu kita sedang lakukan.

"Tetapi, persepsi pengangkutan awam kita teruk contohnya macam di Lembah Klang banyak mod pengangkutan sudah kita sediakan, malah mereka yang ada persepsi itu sebenarnya tak pernah menaikinya.

"Jadi, saya harap dengan usahasama dengan media, kita dapat mengubah persepsi buruk itu sekali gus menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan dan satu budaya masyarakat kita,

"Apabila penggunaannya meningkat kita dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas serta bebas pencemaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 3:30 PM