Nur Sufiah Abd Halim


"SAYA penat menghalau lelaki warga asing miang yang gemar menceroboh koc wanita. Malangnya mereka cukup keras kepala dan degil," kata pengguna, Ummu Sharik Hamzan Kamar, 23, yang meluahkan kekesalan setiap kali menaiki perkhidmatan awam komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Katanya, situasi itu sering kali dialaminya setiap kali dia menggunakan khidmat komuter bermula dari stesen KL Sentral ke Seremban.

"Perbuatan lelaki warga asing terbabit sama sekali tidak menghormati pengguna KTM terutama golongan wanita.

"Ada yang akan berganjak ke koc lain sebaik ditegur namun, ada juga yang pura-pura tak mendengar," katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Sementara itu penuntut, Fatin Athirah Mohd Zarus, 21, berkata, pihak KTM perlu mengambil tindakan bagi mengelak pencerobohan lelaki warga asing ke koc wanita terus berulang.

Menurutnya, lelaki warga asing itu bukan hanya merampas tempat duduk milik penumpang wanita malah, turut mengambil kesempatan meraba atau sengaja menggesel tubuh pada penumpang wanita.

"Keadaan ini mungkin tidak akan berlaku jika mereka memahami arahan dan pelekat ikon wanita berwarna merah jambu bagi menandakan koc berkenaan khas untuk wanita saja," katanya.

Sementara itu, Nurul Eyniatasya Mohamed, 21 berkata, masalah pencerobohan harus dihentikan supaya golongan wanita dapat menikmati perjalanan lebih selesa dengan jaminan keselamatan lebih baik.

"Saya simpati pada warga emas dan ibu mengandung yang kadang-kadang terpaksa berdiri disebabkan perbuatan mereka ini," katanya.

KTM Berhad melalui perkhidmatan tren KTM Komuter memperkenalkan Koc Wanita pada April 2010 bertujuan memberi keselesaan dan keselamatan untuk golongan wanita sebagai pengguna perkhidmatan itu.

Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan bekerjasama dengan Pegawai Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi isu pencerobohan di dalam gerabak koc wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata, operasi penguatkuasaan dan kempen kesedaran koc wanita dengan kerjasama Polis Bantuan KTMB dan SPAD dijalankan bagi membanteras isu pencerobohan koc wanita secara bersama.

Menurutnya, operasi dan kempen kesedaran itu bermula sejak kelmarin.

"KTMB dengan kerjasama SPAD kini sedang meneliti semua tatacara pengoperasian koc wanita bagi menjamin dan memastikan koc ini digunakan khas untuk wanita saja.

"Saya menyeru orang ramai dapat membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain berhubung kepentingan dan sensitiviti koc khas berkenaan untuk keselesaan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 5:58 PM