Gambar wanita duduk di atas lantai koc wanita yang viral baru-baru ini.
Gambar wanita duduk di atas lantai koc wanita yang viral baru-baru ini.
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) bekerjasama erat dengan pihak berkaitan termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengemaskini akta sedia ada supaya lelaki yang menggunakan koc wanita boleh didakwa di mahkamah.

Ketua Komunikasi Korporat KTM Berhad, Ridhwan Arshad berkata, pihaknya memandang serius aduan daripada orang ramai mengenai isu berkenaan termasuk dua kes yang viral di laman sosial baru-baru ini.

"Ada akta seperti Akta Keretapi 1991, tetapi untuk membuat pendakwaan agak rumit sedikit dan perlu diperhalusi kerana ada kejadian yang berlaku melibatkan orang asing yang buat-buat tak tahu dan tak faham bahasa.

"Jadi penguatkuasaan daripada pihak kementerian dan SPAD contohnya boleh membantu kami untuk mengatasi masalah ini kerana jika kita menyediakan kemudahan bertaraf dunia tetapi mentaliti masih di tahap sederhana, tiada guna juga," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebelum ini, dua gambar yang viral menunjukkan lelaki menggunakan koc wanita dalam KTM Komuter sementara seorang wanita mengandung terpaksa berdiri dan seorang wanita terpaksa duduk di lantai.

Menurut Ridhwan, dia juga sudah membawa perkara itu dalam mesyuarat pengurusan KTM Berhad dan sudah melaksanakan beberapa tindakan.

"Sepatutnya dalam pengangkutan awam, pihak kami mahu memberi kesedaran kepada pengguna dan penumpang bahawa mereka sepatutnya ada ihsan dan melaksanakan falsafah 'caring and sharing'.

"Kita dah arahkan pegawai bertugas iaitu polis bantuan dalam keretapi untuk mengarahkan mana-mana lelaki yang menggunakan koc wanita beralih ke koc lain seperti koc 1,2,5 dan 6.

"Tindakan juga sedang diperhalusi sekiranya mereka menaiki komuter bersama keluarga, mereka perlu ada pertimbangan rasional supaya tidak menggunakan koc wanita iaitu koc 3 dan 4," katanya.

Justeru, beliau meminta kerjasama penumpang agar mempunyai kesedaran sivik selain mahu perkara itu diterapkan dalam sektor pendidikan sama ada peringkat rendah, menengah mahupun universiti.

"Kami kecewa kerana berdasarkan pemerhatian kasar, ia membabitkan lelaki warga tempatan. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku kerana kita menyediakan kemudahan ini untuk menghargai golongan ibu dan wanita.

"Dalam kes-kes sebelum ini, saya boleh anggarkan dalam 3,4 kes yang dilaporkan dalam setahun kebanyakannya membabitkan warga asing ," katanya.

Koc wanita diperkenalkan sejak 28 April 2010, dan KTM Berhad menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records, 28 November tahun lalu atas inisiatif berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 7:28 PM