Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menyerahkan siasatan kepada pengurusan tertinggi berhubung dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang mendakwa wujud budaya rasuah di pintu masuk negara.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin berkata, pihaknya sudah membuat pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"Hasil pertemuan, pihak pengurusan berjanji akan mengambil satu siasatan yang adil dan menyeluruh mengenai siasatan kejadian berkenaan.

"Jadi kita minta supaya tidak memanjangkan lagi isu ini sehingga siasatan selesai," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ketika ini pegawai di lapangan memang marah dan terkilan dengan dakwaan yang dibuat menteri berkenaan.

"Namun, kita percaya pihak pengurusan tertinggi JIM dan KDN akan melakukan siasatan yang adil dan saksama," katanya.

Sebelum ini tular insiden membabitkan King Sing, pegawai Jabatan Imigresen dan seorang pelancong warga China yang ditahan pihak berkuasa berkenaan di balai ketibaan KLIA.

Menteri berkenaan mendakwa beliau cuba menghentikan 'budaya rasuah' Jabatan Imigresen yang didakwa berlaku dalam proses ketibaan warga asing di KLIA.

Semalam KPISM kesal dengan tuduhan King Sing sambil menegaskan, jika benar dakwaan rasuah, ia perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 5:43 PM