Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) kesal dengan tuduhan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Tiong King Sing yang mendakwa wujud budaya rasuah di pintu masuk negara.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin berkata, jika benar dakwaan bahawa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terbabit dengan rasuah, ianya perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Ianya bukan dengan membuat kenyataan media yang boleh dianggap tidak berasas kerana tiada bukti serta hanya bertujuan sebagai 'diversion' atau mengalihkan tumpuan dari isu utama.

"Sebagai seorang orang kenamaan, beliau seharusnya lebih menghormati undang-undang negara dan tidak mengganggu penjawat awam menjalankan tugas mereka.

"Dalam hal ini, pegawai JIM yang bertugas ketika itu sudah semestinya mengetahui dengan lebih jelas mengenai apa yang berlaku dan mengambil tindakan berdasarkan peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, KPISM bertegas tiada mana-mana pihak seharusnya terbabit dan mengganggu tugas penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang oleh JIM dan mana-mana pihak berkuasa di negara ini.

"KPISM tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis jika perkara sama seperti ini berlaku. Kita juga bersetuju dengan tindakan pihak JIM yang mengambil tindakan serta merta memulakan siasatan berkenaan isu berkenaan.

"Kami juga senada dengan saranan oleh Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs), satu siasatan terperinci dilakukan oleh kerajaan berkenaan isu tular mengenai menteri yang didakwa membuat kecoh serta menceroboh dewan ketibaan di KLIA," katanya.

Berita berkaitan:

Menteri akui terbabit insiden kekecohan, dakwa bongkar rasuah di KLIA

JIM siasat laporan menteri buat 'kecoh' di KLIA

Polis belum terima laporan kekecohan di KLIA

Cuepacs gesa kerajaan, pihak berkuasa siasat kes menteri buat kecoh di KLIA

Pemuda Umno desak Anwar pecat menteri buat 'kecoh' di KLIA

Menteri buat 'kecoh', tuntut bebaskan pelawat China ditahan di KLIA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 1:45 PM