KEADAAN longkang di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) yang tersumbat dengan sisa makanan. FOTO tangkap video TikTok
KEADAAN longkang di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) yang tersumbat dengan sisa makanan. FOTO tangkap video TikTok
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Selepas lima minggu berturut-turut mengadakan program gotong-royong di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), kami terkilan dengan sikap segelintir pengusaha gerai makan yang pengotor," kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Beliau mengulas berkaitan video yang tular di TikTok menunjukkan beliau memberi teguran kepada kumpulan peniaga yang ingkar, Mohd Jafni berkata, bukan saja membuat pengubahsuaian haram malah sesetengah peniaga bertindak menutup longkang asal yang dibina.

Menurutnya, lebih memburukkan keadaan, pengusaha gerai juga didapati gagal menjaga kebersihan apabila bebas membuang sisa ikan ke dalam longkang hingga berbau busuk.

Katanya, pihaknya mengenalpasti perkara itu selepas melakukan lawatan mengejut ke 20 gerai makan di kawasan berkenaan menerusi Program Johor Bersih baru-baru ini.

"Mereka membuang sisa ikan ke dalam longkang hingga longkang tersumbat dan kotor.

"Sekiranya masih berdegil termasuk tidak menjaga kebersihan dan gagal mengekalkan reka bentuk asal gerai berkenaan, tindakan sesuai akan diambil.

"Kami berharap peniaga berubah sikap dan tidak mengambil sambil lewa terhadap nasihat dan teguran serta memandang remeh kerja pembersihan dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri akan menyiapkan kertas kerja bagi membolehkan penguatkuasa di empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor Bahru menguatkuasakan undang-undang kesalahan membuang sampah.

Menurutnya, ia termasuk denda antara RM200 hingga RM250.

"Kita mula akan membeli 'body camera' untuk mengenalpasti individu yang membuang sampah.

"Ia akan dilaksanakan mulai tahun ini dan Agenda Johor adalah kita akan memperkasakan penguatkuasaan selepas setahun kita memberi nasihat berkaitan Kempen Johor Bersih," katanya.

Tular sebuah video di TikTok memaparkan imej Mohd Jafni memberi teguran kepada peniaga gerai makan.

Video berdurasi 41 saat juga memaparkan keadaan longkang berhampiran gerai makan yang tersumbat dan dipenuhi sisa makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 3:08 PM