GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua individu bakal didakwa selepas dikesan membuang sampah oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) di Legaran Segget di sini, semalam.

Mereka dikesan ketika Operasi Penguatkuasaan Akta 672 di kawasan tumpuan awam yang diadakan bermula 10.30 pagi hingga 3.30 petang itu.

Operasi yang dijalankan di sekitar Legaran Segget, Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Trus di sini dijalankan dua orang pegawai dan empat pembantu penguat kuasa SWCorp.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, dua individu itu akan didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

"Bagi perbuatan itu, mereka boleh didenda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau dipenjarakan minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya menerusi hantaran di Facebooknya, malam tadi.

Beliau berkata, kertas siasatan akan dibuka untuk mendapatkan izin mendakwa daripada timbalan pendakwa raya.

Pada masa sama, Mohd Jafni berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang membuang sampah merata-rata memandangkan ada peruntukan undang-undang untuk diambil tindakan.

"Sememangnya ada peruntukan undang-undang berkaitan perkara ini, cuma sebelum ini kita banyak guna budi bicara dan bertolak ansur, namun sekarang, tidak lagi. Jangan marah jika 'disaman'," katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat menjaga kebersihan negeri ini dan tidak sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata.

"Jagalah imej, nama baik dan kebersihan Johor. Jangan buang sampah merata-rata, anda sedang perhatikan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 12:48 PM