KEADAAN longkang berhampiran sebuah restoran nasi kandar yang diperiksa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Lebuh Chulia. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KEADAAN longkang berhampiran sebuah restoran nasi kandar yang diperiksa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Lebuh Chulia. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli

EMPAT restoran nasi kandar terkenal di Georgetown antara yang dikenakan kompaun kerana pelbagai kesalahan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu.

Operasi yang turut dijalankan serentak di empat lagi lokasi itu mengeluarkan 11 kompaun terhadap premis berkenaan membabitkan jumlah sebanyak RM3,500 .

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Mubarak Junus berkata, sebanyak empat kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak menyediakan tong sampah yang setiap satunya berjumlah RM500.

Katanya, manakala lain-lain kesalahan ialah berhubung pengasingan sisa, kebersihan, halangan di dalam longkang serta meletakkan sisa binaan di atas longkang.

Katanya lagi, pemeriksaan di premis sekitar Lebuh Chulia dan Lebuh King itu mendapati longkang di beberapa premis kotor dan tersumbat berikutan sisa makanan yang dibuang tanpa menggunakan penapisan sisa serta perangkap gris.

“Sisa makanan dan air limbahan yang disalirkan ke dalam parit adalah punca ia tersumbat selain boleh menyebabkan pencemaran parit dan sungai.

“Dua daripada premis yang diperiksa didapati melakukan kesalahan berulang dan kita akan melakukan pemantauan secara berterusan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Empat lokasi terbabit dengan pemeriksaan berkenaan ialah di Bayan Baru, Batu Maung, Datuk Keramat dan Pulau Tikus.

Operasi yang diatur secara berjadual setiap minggu itu turut membabitkan operasi penguatkuasaan pengasingan sisa di punca, pengurusan kebersihan makanan, pembuangan sampah haram dan antilitter di kawasan tumpuan pelancongan.

Menurut Mubarak, sepanjang tahun ini, MBPP sudah mengeluarkan sebanyak 587 kompaun terhadap pelbagai premis di bandaraya ini berikutan beberapa kesalahan berhubung kebersihan.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah membuang sampah dan meletakkan bekas makanan di tempat awam dan membuang kekotoran di parit awam.

“Mereka juga dikesan tidak menyediakan tong sampah dan perangkap gris serta tidak menyediakan kemudahan pengasingan sisa kitar semula,” katanya lagi.

Sementara itu, pengunjung, Norsiah Abdul Manaf, 40, kesal dengan tindakan pengendali makanan di premis berkenaan yang masih tidak prihatin dengan kebersihan longkang.

Katanya jika dibiarkan, ia akan mengundang lipas dan tikus selain mendatangkan bau kurang menyenangkan serta mencemarkan nama Pulau Pinang yang terkenal dengan keenakan nasi kandar.

“Seringkali tular di laman sosial mengenai keenakan makanan sesebuah kedai namun selepas diperiksa, rupa-rupanya cara pengendalian mereka tidak bersih dan itulah yang pelanggan kesalkan.

“Kebanyakan restoran nasi kandar ini sudah ternama, justeru jagalah kebersihan premis masing-masing,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 11:55 PM